Daisypath Friendship tickers
Ditujukan khas buat sesiapa sahaja yang mengidam membaca puisi, cerita karut dan kata-kata dari budak separa kreatif atau tidak professional ini. <3 ~ bukan cerita fitnah ok

[RIT] Di Sebalik 'Syifa' : Bhgn 2

16/06/2011

         
         Amanda berlari ke garaj villa mereka dan menekan suis automatik kereta keluarga mereka yang berwarna merah. Fikirannya tidak habis-habis berfikir sambil berharap agar keadaan jalan ke tempat yang ditujunya masih lagi tidak berubah. Setengah jam kemudian dia sampai ke tempat yang dituju. Terukir senyuman di wajah manisnya kerana lega kenangannya bersama seseorang di situ tidak hilang dimamah arus pemodenan seperti kawasan yang lain. Semuanya masih lagi indah dan sama seperti dahulu.

            Tempat itu ialah sebuah taman bunga Tulip yang menjadi tempat kunjungan harian Amanda bersama seseorang yang dia sayang. Taman itu mempunyai keluasan hampir 5 ekar dan hanya dihiasi dengan bunga tulip yang berwarna warni serta taman rekreasi dan riadah. Bunga-bunga itu ditanam secara teratur dan mempunyai unsur landskap yang sangat menarik para pelancong dan juga penduduk di situ. Semuanya dijaga rapi demi untuk memelihara aset berharga pulau itu. Di tengah-tengah taman itu pula terdapat satu menara yang membolehkan semua orang melihat pemandangan Pulau Tulip secara keseluruhannya lebih-lebih lagi pada waktu matahari terbenam.

            Jam menunjukkan pukul 4 petang. Dilihatnya sekeliling taman tersebut yang dipenuhi dengan manusia yang datang berkelah dan beriadah termasuklah van rumah anak-anak yatim. Dia kemudian berjalan mendekati kumpulan kanak-kanak tersebut yang ditemani seorang penjaga perempuan dalam lingkungan usia 30-an.

“Assalammualaikum,” sambil tersenyum kepada penjaga perempuan tersebut.

“Waalaikumsalam,” sambil berpaling kepada suara lembut seorang perempuan yang menegurnya. Kaku dia seketika sepertinya terkejut melihat wujud Amanda dihadapannya. Amanda berasa hairan dengan respon yang diberikan dan tertanya-tanya samada kakak tersebut mengenalinya atau tidak.

“Kakak tak apa-apakah?”

“Eh, tiada apa-apa.. kak cuma teringat kepada seseorang sahaja,” tiba-tiba terkejut dari lamunannya akibat teguran Amanda. Matanya masih lagi memandang tepat mata Amanda tanpa berkata apa-apa.

“Nama kakak Nadia. Adik ni siapa dan ada apa-apa yang kakak dapat bantukah?” bertanya dengan lembutnya.

“Tiada apa-apa, cuma saya tertarik dengan kanak-kanak yang comel ni. Saya anak tunggal dalam keluarga, jadi jarang sangat dapat bermain dengan kanak-kanak tapi itu pun kalau kakak benarkan,” sambil tersenyum mesra.

“Oh, hehe boleh, apa salahnya. Budak-budak ni pun suka kalau ada orang yang sudi lawat mereka. Ohya, kakak nak ke tandas sekejap. Amanda boleh tolong tengok-tengokkan mereka sekejap?”

“Oh, boleh sangat-sangat kak”. Gembira rasa hatinya bila dapat meluangkan masa bersama kanak-kanak yang comel itu sambil melihat kelibat kakak Nadia yang menemani beberapa orang kanak-kanak yang lain ke tandas.

Amanda serta-merta mendekati 5 orang kanak-kanak itu yang sedang bermain bersama dalam lingkungan usia 4-9 tahun. Dalam masa yang singkat kanak-kanak itu sudah mulai menyukai kehadiran Amanda kecuali seorang budak perempuan yang berusia 5 tahun itu. Budak tersebut hanya merenung Amanda dari jauh dan enggan mendekati Amanda. Selangkah Amanda maju merapati budak tersebut, selangkah juga budak tersebut berundur.

Amanda berasa hairan dan sedih kerana budak tersebut sepertinya tidak menyukainya. Tetapi dia tetap mencuba untuk membuat budak tersebut mendekatinya tanpa rasa takut. Dalam jarak sebanyak 10 langkah antara Amanda dan budak tersebut, mereka hanya saling berpandangan. Amanda tiba-tiba duduk bersila di atas rumput di taman itu.

“Kenapa adik tak mahu kakak dekat dengan adik?” Amanda bertanya dengan nada yang lembut dan agak sedih. Tetapi budak tersebut hanya membalas dengan menghalakan jari telunjuknya ke arah belakang Amanda seperti ada sesuatu di belakang Amanda. Amanda menoleh ke belakang dengan perlahan, tetapi tiada apa-apa yang dilihatnya selain bunga Tulip yang berwarna warni.

“Kenapa adik?,” sambil diselebungi dengan perasaan ingin tahu tentang apa yang mahu disampaikan oleh budak itu.

Budak tersebut masih lagi memberikan respon yang sama tanpa berkata apa-apa. Tak sempat Amanda bertanya, kakak Nadia muncul bersama kanak-kanak yang lain. Yang lebih menghairankan Amanda, kakak Nadia serta-merta memeluk budak tersebut apabila melihat budak tersebut merenung Amanda sambil menunjukkan sesuatu di belakang Amanda. Suasana menjadi sunyi seketika dan hanya terdengar suara halus budak tersebut yang sedang menangis sambil memeluk kakak Nadia. Perasaan ingin tahu Amanda semakin membuak-buak.

“Kak, kenapa ni kak?” menegur kak Nadia dari belakang. Budak yang masih dalam pelukan kak Nadia masih enggan mengangkat pandangannya melihat Amanda dari jarak yang dekat.

“Oh, tiada apa-apa Nadia. Maaf ya tapi kakak kena bawa budak-budak ni balik sekarang. Nanti kalau ada masa kita jumpa lagi ya,” terus beredar dengan kelam-kabutnya tanpa mendengar balasan dari Amanda.

Amanda hanya terdiam dan membiarkan mereka pergi tanpa berkata apa-apa. Fikirannya ketika itu dihujani dengan pertanyaan yang bertubi-tubi dengan apa yang baru terjadi dan mengapa budak tersebut berkelakuan seperti itu. Apa yang dilihat oleh budak tersebut yang Amanda tak dapat lihat? Kenapa kak Nadia memeluk budak tersebut? Apa sebenarnya yang berlaku? Semuanya masih dalam tanda tanya dan Amanda dahagakan jawapan yang sebenar.

Bersambung...

0 ratus orang komen:

Sila Tabur Pesanan Anda Di Sini^^

^^