Daisypath Friendship tickers
Ditujukan khas buat sesiapa sahaja yang mengidam membaca puisi, cerita karut dan kata-kata dari budak separa kreatif atau tidak professional ini. <3 ~ bukan cerita fitnah ok

[F&R] Sang Jiwa Muda

19/06/2011

4 ratus orang komen
Ermm, aku faham.. mungkin jiwa mudamu yang sedang menguasai diri dan fikiranmu.. aku faham dan sedia untuk bersabar dan bertahan kerana tak mampu ku kehilangan sahabat sepertimu. Sepertimu??? Sejahat mana pun dirimu tetap bukan hak aku untuk menilai. Hanya Allah yang layak menilai hamba-hambanya di dunia ini. Ya Allah, mudah-mudahan Engkau selalu sedarkan kami yang alpa, ubati luka yang sakit, tenangkan jiwa yang gundah dan baran. Aghh, pergi kau fikiran yang tak matang. Mengapa kau hadir dan menodai fikiranku?

Jiwa muda memang begitukah? Jadi kenapa aku tidak seperti itu. Perilaku yang dibuat-buat kah? Hermm.. kenapa harus sampai begitu. Jiwa ku tak tertahan melayan sikapmu yang terlalu mengada. Macam-macam dipinta tak mengira masa dan situasi yang benar. Membuak-buak perasaan iri hati pada yang tak sepatutnya. Jika umur menjadi ukuran, mengapa kau tidak bersikap senada dengan umur dan matang minda seperti insan yang sama jangka hayatnya sepertimu? Hermm.. benarlah kata-kata yang mengatakan, umur itu cuma angka.
***
Guna akalmu dan bukan nafsumu dalam perjalanan hidup mencari pintu hala tuju. Jangan biar diri didesak dengan kemahuan syaitan yang menggegar nafsumu. 1 nafsu bagi lelaki dan 9 nafsu bagi perempuan dan itulah ketetapan yang rata untuk semua insan. Bukan merasa diri telah hebat melemparkan kemarahan dan ketidakpuasan hati dengan nada yang mungkin tidak mesra bagi dirimu, tetapi jujur dan tekad seorang sahabat yang enggan dirimu jatuh dalam lembah kekecewaan di kemudian hari.

Yang muda mungkin tak layak bersuara tapi masih layak menegur yang tua kerana talian saudara seagama mahupun sahabat. Pinta diri hanyalah agar dirimu tidak terleka dan dibuai dengan kemewahan yang boleh menjurus. Perjalananmu masih lagi jauh dan jika aku ditakdirkan menjadi sahabat dalam perjalananmu itu, aku dengan relanya sentiasa bersedia. Bukalah minda dan hati agar petunjuk dan rahmat dapat mendekati. Jiwa muda memang sudah lumrahnya sentiasa membara tapi masih perlu dikawal seorang nahkoda yang gagah menepis segala goda dunia demi sejahtera di akhir perjalanannya. Darah, jiwa, semangat dan usia yang muda ini satu anugerah yang tak ternilai dalam konteks kehidupan. Jadi mengapa harus diabaikan dengan calit dosa dan benda tiada memberi  faedah? Ingatlah, setiap permulaan ada akhirnya. Jangan dikejar penyesalan sejak zaman mudamu.


[MSF] Hawa dan fantasi

16/06/2011

4 ratus orang komen
p/s: MSF bermaksud Mari Singgah Fantasiku baru wujud hari ini... Mari singgah dan bayangkan bersama Tulip.


Mungkin ada yang tahu dan ada yang tidak tahu bahawa kaum hawa di dunia ini mempunyai fantasi mereka yang tersendiri. Malah mereka sangat suka hidup di dalam fantasi mereka. Kaum hawa hiasan dunia itu selalu berfantasi apabila mereka merasa sedih, sunyi, gembira, bahagia dan juga apabila telah jatuh cinta.

Bayangkan….. disebalik dunia nyata dimana wujud kaum adam dan hawa hidup bersama di bumi, semua kaum hawa ini akan bertemu semula di satu dunia yang lain iaitu dalam dunia imaginasi hawa. Disanalah dunia di mana hanya ada kaum hawa sahaja di dalamnya. Bila minda dan hati mereka telah ditemani perasaan seperti sedih dan gembira, mereka sebenarnya telah melangkah ke dunia fantasi hawa tanpa dihalang oleh masa.

Yang bahagia tak henti-henti berlagak bertuah di hadapan kaum hawa yang lain. Kononnya dialah wanita bertuah di alam ini. Tiada wanita lain yang dapat merasa bahagia sepertinya. Ada pula yang sedih bila di alam nyata hatinya diluka. Lalu dia masuk ke fantasinya membawa seribu kesepian dan murung di wajah. Tak bermaya menatap kaum hawa yang lain dalam dunia fantasi kaum hawa itu. Kadang dia merasa marah kerana kaum hawa lain adalah penyebabnya. ‘Jangan engkau ganggu dunia aku!, jangan engkau masuk dalam fantasiku!, teriak si hawa yang luka tadi.

Maka, muncul pula hawa yang lain membawa hati yang ikhlas dan sedia mengalirkan airmatanya memujuk hawa yang luka itu. “Hawaku sayang, janganlah engkau menangis, hati ini luluh melihat airmatamu, kuatkan hatimu hawa. Tak selamanya kau mampu menyorok di dunia fantasi kita ini. Kita pasti kembali di dunia nyata,” kata hawa yang baik itu.

Hawa yang terluka tadi mengangkat wajahnya yang sedih dan basah dek airmata. Terharu hatinya menyalahkan kaumnya sendiri penyebab luka namun masih ada di kalangan kaumnya sendiri sudi memujuk. Disitulah terbit satu cahaya antara hawa yang luka dan hawa yang baik itu. Cahaya sillaturrahim penghubung setia tanpa mengenal dunia fantasi mahupun nyata.

Ada juga yang masuk dalam dunia fantasi hawa membawa seribu kebingungan. Mereka masih muda dan mahu menilai mencari kefahaman dan kematangan. Kadang mereka ini berani jiwanya maka bertemu hawa yang matang mencari hala tuju. Kadang mereka ini pendiam dan mencarinya sendiri walaupun akal masih mentah namun digagah jiwa menyusur kehidupan.

Terbukti perjalanan hidup setiap kaum hawa berlainan, perwatakan, percakapan dan pemikiran setiap hawa juga berlainan, tetapi masih ada satu tempat di mana mereka boleh bersatu dan setuju tentang dunia nyata, iaitu fantasi dan hati.


[RIT] Di Sebalik 'Syifa' : Bhgn 2

0 ratus orang komen
         
         Amanda berlari ke garaj villa mereka dan menekan suis automatik kereta keluarga mereka yang berwarna merah. Fikirannya tidak habis-habis berfikir sambil berharap agar keadaan jalan ke tempat yang ditujunya masih lagi tidak berubah. Setengah jam kemudian dia sampai ke tempat yang dituju. Terukir senyuman di wajah manisnya kerana lega kenangannya bersama seseorang di situ tidak hilang dimamah arus pemodenan seperti kawasan yang lain. Semuanya masih lagi indah dan sama seperti dahulu.

            Tempat itu ialah sebuah taman bunga Tulip yang menjadi tempat kunjungan harian Amanda bersama seseorang yang dia sayang. Taman itu mempunyai keluasan hampir 5 ekar dan hanya dihiasi dengan bunga tulip yang berwarna warni serta taman rekreasi dan riadah. Bunga-bunga itu ditanam secara teratur dan mempunyai unsur landskap yang sangat menarik para pelancong dan juga penduduk di situ. Semuanya dijaga rapi demi untuk memelihara aset berharga pulau itu. Di tengah-tengah taman itu pula terdapat satu menara yang membolehkan semua orang melihat pemandangan Pulau Tulip secara keseluruhannya lebih-lebih lagi pada waktu matahari terbenam.

            Jam menunjukkan pukul 4 petang. Dilihatnya sekeliling taman tersebut yang dipenuhi dengan manusia yang datang berkelah dan beriadah termasuklah van rumah anak-anak yatim. Dia kemudian berjalan mendekati kumpulan kanak-kanak tersebut yang ditemani seorang penjaga perempuan dalam lingkungan usia 30-an.

“Assalammualaikum,” sambil tersenyum kepada penjaga perempuan tersebut.

“Waalaikumsalam,” sambil berpaling kepada suara lembut seorang perempuan yang menegurnya. Kaku dia seketika sepertinya terkejut melihat wujud Amanda dihadapannya. Amanda berasa hairan dengan respon yang diberikan dan tertanya-tanya samada kakak tersebut mengenalinya atau tidak.

“Kakak tak apa-apakah?”

“Eh, tiada apa-apa.. kak cuma teringat kepada seseorang sahaja,” tiba-tiba terkejut dari lamunannya akibat teguran Amanda. Matanya masih lagi memandang tepat mata Amanda tanpa berkata apa-apa.

“Nama kakak Nadia. Adik ni siapa dan ada apa-apa yang kakak dapat bantukah?” bertanya dengan lembutnya.

“Tiada apa-apa, cuma saya tertarik dengan kanak-kanak yang comel ni. Saya anak tunggal dalam keluarga, jadi jarang sangat dapat bermain dengan kanak-kanak tapi itu pun kalau kakak benarkan,” sambil tersenyum mesra.

“Oh, hehe boleh, apa salahnya. Budak-budak ni pun suka kalau ada orang yang sudi lawat mereka. Ohya, kakak nak ke tandas sekejap. Amanda boleh tolong tengok-tengokkan mereka sekejap?”

“Oh, boleh sangat-sangat kak”. Gembira rasa hatinya bila dapat meluangkan masa bersama kanak-kanak yang comel itu sambil melihat kelibat kakak Nadia yang menemani beberapa orang kanak-kanak yang lain ke tandas.

Amanda serta-merta mendekati 5 orang kanak-kanak itu yang sedang bermain bersama dalam lingkungan usia 4-9 tahun. Dalam masa yang singkat kanak-kanak itu sudah mulai menyukai kehadiran Amanda kecuali seorang budak perempuan yang berusia 5 tahun itu. Budak tersebut hanya merenung Amanda dari jauh dan enggan mendekati Amanda. Selangkah Amanda maju merapati budak tersebut, selangkah juga budak tersebut berundur.

Amanda berasa hairan dan sedih kerana budak tersebut sepertinya tidak menyukainya. Tetapi dia tetap mencuba untuk membuat budak tersebut mendekatinya tanpa rasa takut. Dalam jarak sebanyak 10 langkah antara Amanda dan budak tersebut, mereka hanya saling berpandangan. Amanda tiba-tiba duduk bersila di atas rumput di taman itu.

“Kenapa adik tak mahu kakak dekat dengan adik?” Amanda bertanya dengan nada yang lembut dan agak sedih. Tetapi budak tersebut hanya membalas dengan menghalakan jari telunjuknya ke arah belakang Amanda seperti ada sesuatu di belakang Amanda. Amanda menoleh ke belakang dengan perlahan, tetapi tiada apa-apa yang dilihatnya selain bunga Tulip yang berwarna warni.

“Kenapa adik?,” sambil diselebungi dengan perasaan ingin tahu tentang apa yang mahu disampaikan oleh budak itu.

Budak tersebut masih lagi memberikan respon yang sama tanpa berkata apa-apa. Tak sempat Amanda bertanya, kakak Nadia muncul bersama kanak-kanak yang lain. Yang lebih menghairankan Amanda, kakak Nadia serta-merta memeluk budak tersebut apabila melihat budak tersebut merenung Amanda sambil menunjukkan sesuatu di belakang Amanda. Suasana menjadi sunyi seketika dan hanya terdengar suara halus budak tersebut yang sedang menangis sambil memeluk kakak Nadia. Perasaan ingin tahu Amanda semakin membuak-buak.

“Kak, kenapa ni kak?” menegur kak Nadia dari belakang. Budak yang masih dalam pelukan kak Nadia masih enggan mengangkat pandangannya melihat Amanda dari jarak yang dekat.

“Oh, tiada apa-apa Nadia. Maaf ya tapi kakak kena bawa budak-budak ni balik sekarang. Nanti kalau ada masa kita jumpa lagi ya,” terus beredar dengan kelam-kabutnya tanpa mendengar balasan dari Amanda.

Amanda hanya terdiam dan membiarkan mereka pergi tanpa berkata apa-apa. Fikirannya ketika itu dihujani dengan pertanyaan yang bertubi-tubi dengan apa yang baru terjadi dan mengapa budak tersebut berkelakuan seperti itu. Apa yang dilihat oleh budak tersebut yang Amanda tak dapat lihat? Kenapa kak Nadia memeluk budak tersebut? Apa sebenarnya yang berlaku? Semuanya masih dalam tanda tanya dan Amanda dahagakan jawapan yang sebenar.

Bersambung...

[F&R] Wang & Duit

11/06/2011

2 ratus orang komen
Manusia yang rakus, ataupun wang yang semakin pantas mengalir seiring arus air sungai yang deras menghanyutkan apa2 sahaja yang jatuh ke dalamnya?. Minda manusia sudah semakin hanyut dengan harta dunia ataupun ekonomi semakin ke arah yang negatif dan tidak stabil?.

Kekeliruan manusia semua berpunca daripada duit?. Adakah punca manusia hidup adalah semata mata untuk duit?. Mana maruah manusia sebenarnya sampai boleh dibeli dengan wang ringgit. Segala-galanya dilihat dari aspek kaya atau pun miskin. Apa semua ni?

Duitkah yang menguasai dunia manusia? Bukankah pencipta duit itu sendiri adalah seorang manusia? Mengapa mengexploitasi kaum sendiri sedangkan nyata dan jelas manusia lebih bijak dan berakal daripada sehelai wang kertas dan duit syiling. Apa semua ni?

Andai duit itu bernyawa dan mampu berfikir sepertimana seorang manusia yang cukup sifatnya, dimana agaknya martabat manusia sekarang. Tidak mustahil ia akan mentertawakan nasib kita sebagai manusia kerana tidak seperti ia. Telalu obses dengan duit hingga lupa akan semuanya. Alpa dengan kebijaksanaan yang ada sehingga terpedaya dengan mudahnya hanya kerana duit. Apa semua ni?

Hahahahaha… hilai tawanya semakin kuat. Tidak membarakah rasa di hati diperdaya oleh sesuatu yang sebenarnya terlalu mudah untuk kita hapuskan? Tetapi kita tidak mahu ia terhapus kerana memikirkan nasib kita tanpanya. Nyatalah sekarang memang ia yang menguasai dunia kita. Apa semua ni sebenarnya?

Ambillah waktu walau sejenak, fikirkan cara untuk mengawalnya dan diri kita sendiri. Dalami kehendak dan kemahuan kita yang sebenar benarnya sebelum menghalusi satu persatu sebab dan akibat daripadanya kerana itulah yang paling asas dan penting.

Jika kita berupaya menciptanya, maka kita juga ada kekuatan yang perlu diselami untuk mengawalnya. Tanpa ragu dan tertipu kita mampu Berjaya. Yakinlah…Bila sedikit ia adalah teman, bila banyak ia mungkin boleh jadi musuh di dalam selimut.

^v^- 13 mei 2010

p/s: Karya di atas dah lama dalam 'lappy' Tulip. Baru hari ni Tulip tadah di laman maya. Lebih setahun dah kan? ^^


[F&R] Hikayat Usang Sang Perindu

0 ratus orang komen
Aku tidaklah sempurna,
Hidupku juga tidak sempurna,
Fikiran dan perwatakanku jua begitu,
Masih belum ada sesuatu yang sempurna
yang pernah aku jumpa di dunia ini,
Tetapi terima kasih kepada engkau,
Akhirnya aku jumpa sesuatu yang sempurna
Buat diriku yang sebaliknya,
Satu ciptaan yang ku rasakan takdir bagiku,
Terdetik di hati bahawa
inilah kesempurnaan yang aku cari,
Lega rasa hati bila hadir
seorang insan sepertimu,
Akulah yang paling bertuah dapat bertemumu,
Hanya aku yang dapat lihat kesempurnaan itu
kerana itu yang aku cari tiada padaku.
Kesempurnaan itu ada padamu,
Walaupun kau tidak kekal bersamaku
Hingga akhir hayat seperti yang ku impikan,
Kau masih tetap yang paling sempurna 
Dalam hati ini walau sedalam mana luka
dan pedih rasanya terpaksa jauh darimu.
Hanya satu yang sempurna ingin ku sampaikan
Buat dirimu yang sempurna bagiku,
Hati dan cinta ini masih untukmu.

[F&R] Sedarkah

09/06/2011

2 ratus orang komen
Dunia bukan untuk kita noda,
Tetapi untuk kita jaga,
Begitu juga dengan agama, akhlak, keluarga, diri, hati, maruah, dan harta.
Dikatakan manusia dicipta beserta hati dan jiwa,
Tetapi tidak semua bertindak seperti makhluk yang ada hati dan perasaan,
Dilukai hati yang lemah,
Dikasari tubuh yang kerdil,
Dipermain manusia yang ikhlas,
Diabai jiwa yang setia,
Mana perginya hati mereka
Sehingga sanggup menindas dalam sedar?
Walau diketahui dunia ini sementara,
Tetapi masih juga sombong berkelakuan seperti raja,
Diabai dosa dan pahala,
Tak diakui perbuatan kejam sendiri walau nyata,
Malah lupa akan bahang neraka,
Padahal Allah tak pandang harta melimpah,
Selain ikhlas taubat nasuha,
Sabarlah sahabat walau dihina,
Penghinaan itu tak ke mana jua,
Ingat Yang Esa masih bersama,
Ditindas dan diluka itu cuma sakit dan seksa dunia,
Balasan tersedia buat mereka juga,
Cuma tabah dan sabar berdoa,
Kerana mereka juga akan parah,
Hadapi sahaja hari-harimu yang bakal tiba,
Sentiasa bersedih ada hikmahnya,
Supaya sedar dan peka sentiasa,
Tentang balasan dunia dan disana
Tumpukan sahaja pada bekalan untuk di sana,
Kerana disanalah yang kekal selamanya.


Sila Tabur Pesanan Anda Di Sini^^

^^