Daisypath Friendship tickers
Ditujukan khas buat sesiapa sahaja yang mengidam membaca puisi, cerita karut dan kata-kata dari budak separa kreatif atau tidak professional ini. <3 ~ bukan cerita fitnah ok

[MSF] Keinginan dan Penyelesaian

16/07/2011

Baring si dia di atas buaian yang diperbuat daripada tali di beranda rumahnya sambil tangannya memetik halus tali gitar kesayangannya. Ditenungnya langit biru yang cerah dan ditemani bunyi-bunyi sang alam beserta penghuninya. Mengeluh dia… lalu menutup matanya.. ahhhh… terasa aman dan tenang…

***~
Hamparan mindanya kini terbuka. Kelihatan megah sebuah istana kristal yang sangat mengkagumkan dirinya yang terletak di tengah-tengah ladang bunga Tulip berwarna merah dan bersinar. Dia yang menyukai Tulip lantas tersenyum dengan lebarnya ibarat mimpi menjadi kenyataan. Mahu sahaja dipetik tulip yang indah dihadapannya itu tetapi dibatalkan niatnya kerana tak sanggup mengganggu sesuatu yang bukan miliknya. Dia hanya memerhati dari jarak yang dekat sambil tersenyum. Lebih mengkagumkan dirinya, terlihat dia kilauan indah sebiji berlian yang betul-betul tertanam di dalam kelopak bunga Tulip itu.

Matanya membulat dan kagum. “Milik siapa taman dan istana indah ini… mirip sangat seperti apa yang kuinginkan,” katanya sambil tersenyum kagum.

Nekad dia ingin bertanya tetapi dilihatnya sekeliling tiada sesiapa kecuali taman bunga Tulip dan istana kristal tadi. Langkah kanan mula diatur menjadi penghulu perjalanannya menemui jawapan menuju ke istana tersebut. Tiada langsung perasaan gundah dan takut menemani dirinya. Sampai sahaja di hadapan pintu istana, pintu tersebut terbuka dengan sendirinya seperti mengundang dia untuk masuk ke dalam.

Pintu terbuka dan yang kelihatan cumalah permaidani merah dan gerbang indah berhiaskan bunga Tulip. Apabila tidak melihat sesiapa, dia mula melangkah masuk mengatur langkahnya di atas permaidani. Matanya masih lagi cuba memerhatikan keindahan di dalam istana tersebut tanpa mampu berkata apa-apa.

Terhenti langkahnya apabila terlihat sebuah pintu yang agak kecil saiznya berbanding pintu utama. Diputarnya tombol pintu tersebut dan melangkahlah dia ke dalamnya. Dia kini berada di sebuah bilik yang kecil. Dihadapannya terletak sebuah cermin yang dapat memperlihatkan keseluruhan badannya. Dikanannya tergantung sehelai busana yang cantik berwarna putih yang boleh menutup semua auratnya. Tersenyum dia lalu dicapai busana itu dan dipakainya. Setelah selesai berdirilah dia dihadapan cermin tadi dan kelihatan busana tadi benar-benar mengikut siaznya. Diendahkan rasa hairan yang juga tertindas dek kegembiraan.

Tiba-tiba terasa seperti ada seseorang yang menyentuh bahunya. Dia menoleh ke belakang tetapi tiada sesiapa.  Kemudian kembali menoleh ke hadapan tetapi cermin yang berada di hadapannya tadi telah tiada. Yang ada hanyalah sebuah pintu besar dan indah daripada pintu utama tadi. Terkejut dia dan kali ini perasaan takut mula menyelubungi. Dilihatnya sekeliling yang gelap gelita seperti memaksanya untuk masuk ke dalam. Dia tiada pilihan lain dan sudah tentulah dia tidak memilih untuk terus berada dalam keadaan yang gelap itu padahal ada jalan lain tersedia di hadapan. Lalu digagahkan diri membuka dan menolak pintu itu.

Kali ini suasananya agak berlainan dari yang awalnya. Kelihatan ramai manusia yang bertopeng putih dan hitam. Ada yang kelihatan sangat menakutkan dan ada juga yang kelihatan mesra. Semua mata tertumpu kepada dia sekarang ini. Tiba-tiba bersuara seorang daripada mereka dan suara tersebut adalah suara seorang lelaki.

                “Melangkahlah dengan kananmu dan teruslah melangkah sehingga penghujung permaidani ini,” kata lelaki yang bertopeng putih itu. Semua manusia yang menghalang jalannya tadi mula memberinya laluan, maka berjalanlah dia mencari penghujung permaidani merah itu. Langkahnya diikuti lelaki bertopeng putih tadi. Dia yang takut untuk bersuara hanya mampu mengikuti arahan lelaki tadi. Suasana ketika itu sunyi dan mendebarkan dirinya. Akhirnya sampai dia ke penghujung permaidani.

                “Duduklah di kerusi itu. Ia khas buatmu,” kata lelaki itu dengan lembut. Dilihatnya kerusi itu yang berbentuk bunga Tulip dan sangat empuk dan selesa duduk di atasnya. Dia hanya menurut dan duduk dengan diam tanpa berkata apa-apa. Lelaki tadi kembali bersuara.

                “Ingatkah kau pada kami?”

                “Tidak,” dengan nada yang perlahan dan takut. Lelaki tadi membuka separuh daripada topengnya. Yang kelihatan cumalah bibir lelaki tersebut yang tersenyum.

                “Kami di sini berhajat, pandanglah kami tanpa wujud rasa takut dalam dirimu”.

                “Hajat apa?”

                “Bila sahaja mindamu tenang dan rela menerima kunjungan kami, kami akan datang”.

                “Terangkanlah kepadaku apa yang dapat ku lakukan untuk kamu semua..”

Tersenyum lagi lelaki itu. Senyumannya sungguh mesra sehingga mampu membuat dirinya yang takut tadi menjadi tenang.

                “Kami wujud dalam realiti mahupun fantasimu. Tetapi wujudnya kami di mindamu hanya berlaku bila mindamu mengizinkan. Lihatlah sekelilingmu dipenuhi dengan manusia yang bertopeng. Yang bertopeng putih adalah insan yang tiada sebarang masalah denganmu jadi janganlah runsingkan mindamu. Sebaliknya tumpukan pada yang bertopeng hitam. Sebentar lagi mereka akan datang satu-persatu dihadapanmu meminta kamu mencari jalan penyelesaian atas segala masalah yang berlaku diantara kamu. Maka selesaikanlah dengan matang fikiran dan jalan yang diredhai Allah. Aku akan temani kamu di sini bersama orang-orang yang kau sayangi iaitu keluargamu”.

                “Siapa kamu…”

                “Akulah yang kau fikirkan, jangan lagi takut ya,” sambil tersenyum dan menunjukkan keseluruhan wajahnya.

Terperanjat dia dan mulalah dirinya diselubung dengan perasaan yang gembira. Dia hanya mampu tersenyum.

p/s: Berilah masa kepada diri kita sendiri untuk berfikir dan menyelesaikan masalah yang ada dengan matang akal dan tenang. Ingatlah setiap masalah ada penyelesaiannya dan sentiasa ada insan tersayang menemani dan memberi semangat untuk kita. Berdoalah semoga diberi petunjuk selalu.. amin^^


4 ratus orang komen:

Fadzmie said...

Dan bila ditakdirkan kita tiada lagi siapa-siapa yang dapat menolong kita, sesungguhnya meminta lah pada Yang Maha Mendengar. ;)

Adizatulip said...

itulah cara yg paling afdal kan^^

Unknown said...

Macam ada sambungan ja ni, ehe3..

Adizatulip said...

huhu.. kalaw Tulip rajinlah

Sila Tabur Pesanan Anda Di Sini^^

^^